SEPANG – Suspek pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) awal pagi tadi, Selasa bagi mendapatkan gambaran jelas bagaimana pembunuhan yang berlaku 13 Februari lalu dijalankan.
Warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Vietnam Doan Thi Huong, 28, tiba di KLIA2 pada pukul 8.30 pagi dengan tangan bergari.
Kedua-dua mereka juga memakai baju kalis peluru dan dikawal rapi anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID).
Turut hadir ialah hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin; Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin; peguam Aisyah, Gooi Soon Seng; serta peguam Doan, Hisham Teh Pok Teik, Datuk Naran Singh dan Samir Bashir.
Pada pukul 10 pagi, kedua-dua tertuduh, Siti yang berpakaian hitam dan Doan berbaju kurung, tergesa-gesa dibawa ke terminal berlepas dan seterusnya ke kiosk layan diri, sebelum ke restoran Bibik Heritage di tingkat dua.
Suspek, yang dikawal oleh kira-kira 20 anggota polis bersenjata berat, sebelum ini dibawa ke lapangan terbang di bawah keselamatan polis berat sekitar jam 8.30 pagi.
Pada kira-kira jam 10.15 pagi, kumpulan itu melawat Klinik Perubatan Menara di tingkat 2, di mana Jong-nam telah mendapatkan rawatan perubatan.
Pihak media cuba mengikuti kumpulan itu tetapi anggota polis polis telah menghadang orang ramai daripada merapati pegawai pengadilan dan tertuduh.
Selepas kira-kira sejam, hakim dan tertuduh dilihat berehat, duduk di kawasan menunggu berhampiran kaunter bas dan teksi.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya dibawa ke lokasi terakhir di sebuah teksi dan kemudian kembali ke balai polis KLIA2.
Jong-nam tiba di Malaysia pada 6 Februari, dan berada di KLIA2 untuk menaiki penerbangan 9 pagi ke Macau pada hari dia dibunuh. – MYNEWSHUB.CC