HOUSTON – Susulan insiden tembakan rambang di Las Vegas pada 1 Oktober yang meragut 59 nyawa dan mencederakan 527 orang, tahap keselamatan telah dipertingkat di Pesta Belon Antarabangsa Albuquerque di negeri New Mexico, Amerika Syarikat yang akan bermula pada Sabtu, lapor agensi berita China Xinhua.
Semasa taklimat di Taman Pesta Belon di Albuquerque, para pegawai yang mengendali pesta itu pada Khamis berkata antara langkah tambahan yang diambil ialah buat pertama kali, beg pengunjung akan diperiksa oleh penjaga yang ditempatkan di semua pintu, begitu juga dengan penumpang bas yang disediakan sebagai perkhidmatan pengangkutan dalam taman itu.
Menurut satu laporan tempatan oleh Jurnal Albuquerque, turut hadir dalam taklimat itu wakil bandar, daerah, negeri, agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, jabatan bomba daerah dan negeri serta Syarikat Perkhidmatan Awam New Mexico.
Syerif Daerah Bernalillo, Manuel Gonzales berkata pemeriksaan beg telah dipertimbang sebelum insiden tembakan rambang di Las Vegas berlaku lagi namun peristiwa tragis itu menjadi faktor penentu kepada pelaksanaan segera langkah itu.
Keseluruhan Taman Pesta Belon seluas 360 ekar (kira-kira 1.5 kilometer persegi) telah diwartakan sebagai “zon tanpa dron” semasa acara itu berlangsung.
Ketua Jabatan Polis Albuquerque Gorden Eden berkata pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah keselamatan “yang dipertingkat”.
Ratusan ribu pengunjung dari seluruh dunia dijangka membanjiri Taman Pesta Belon itu dan acara tersebut akan berlangsung selama sembilan hari.
Diwujudkan pada 1972, Pesta Belon Antarabangsa Albuquerque merupakan pesta belon udara panas terbesar di dunia, yang menyaksikan lebih 500 belon menghiasi langit New Mexico setiap tahun. – BERNAMA