KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti cadangan membenarkan beberapa taman metropolitan awam di ibu negara dibuka hingga 10 malam.
Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd berkata langkah itu berikutan pihaknya menerima permintaan tinggi daripada orang awam untuk menggunakan fasiliti di dalam taman pada waktu malam.
Beliau berkata sebilangan besar warga kota lebih gemar beriadah di kawasan taman pada waktu tersebut ekoran cuaca di Malaysia yang agak panas pada waktu pagi dan tengah hari manakala waktu operasi kira-kira 16 taman metropolitan awam di ibu negara pula bermula 7 pagi hingga 7 malam.
“Kita sedang mengkaji infrastruktur kemudahan yang ada pada kesemua taman ini sebab bila kita nak benarkan ia beroperasi pada waktu malam, elemen keselamatan sangat mustahak.
“Jadi kita kena lihat berapa banyak penambahan pondok-pondok jaga yang perlu ada, pintu masuk perlu dikawal, pencahayaan taman yang baik dengan penambahan lampu, supaya apa yang berlaku di taman itu kita dapat urus dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas prapelancaran Kuala Lumpur Orchid dan Bonsai Show 2017 (KLOBS 2017), di sini hari ini.
Sebanyak 700 spesis orkid dan bonsai bakal dipamerkan di KLOBS 2017 yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 Disember depan di Taman Pudu Ulu, Cheras.
Mohd Najib berkata antara fasiliti yang gemar diguna pakai oleh orang awam pada waku malam adalah taman luncur, trek joging, padang bola dan taman permainan.
Dalam pada itu, beliau berkata antara taman yang dikenal pasti untuk beroperasi hingga lewat malam adalah Taman Pudu Ulu, Cheras dan Taman Titiwangsa.
Beliau berkata ia juga merupakan hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membenarkan taman metropolitan awam beroperasi hingga lewat malam demi kesejahteraan warga kota. – BERNAMA