KUALA LUMPUR – Taylor’s University berada di kedudukan 150 terbaik di Asia berdasarkan laporan Quacquarelli Symonds (QS) Ranking Universiti Asia yang diumumkan hari ini iaitu peningkatan sebanyak 29 anak tangga.
Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Michael Driscoll berkata, pengiktirafan itu memberi isyarat bahawa Taylor’s University berada di landasan yang betul.
“Untuk sebuah universiti yang baru seperti Taylor’s University, pencapaian untuk masuk ke dalam senarai 150 universiti teratas Asia dalam masa yang singkat adalah amat membanggakan.
“Ia menggariskan kualiti pendidikan yang kami sediakan. Kejayaan ini juga menjadikan aspirasi kami untuk menjadi salah satu universiti terkemuka di Asia menjelang tahun 2022 lebih mudah dicapai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Taylor’s University menunjukkan peningkatan yang ketara daripada kedudukan ke-250 pada 2015/2016 dan nombor 179 pada 2016/2017 sebelum diiktiraf sebagai universiti ke-150 di Asia tahun ini.
Ia juga menduduki tempat ke-8 dalam kalangan 27 universiti di Malaysia yang dinilai oleh QS.
Taylor’s University adalah satu-satunya universiti swasta bukan syarikat berkaitan kerajaan yang diiktiraf dalam senarai tertinggi QS Asia University Ranking. – MYNEWSHUB.CC