KUCHING – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim meminta kementerian dan syarikat penyedia kemudahan telekomunikasi memperluaskan kawasan liputan telekomunikasi di kawasan Parlimen Batang Lupar.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar berkata beberapa kawasan di Batang Lupar tidak mendapat liputan telefon dan ia menjadi masalah perhubungan sesama masyarakat di situ dan di luar kawasan.
“Liputan telekomunikasi bukan sekadar untuk membawa pelabur ke kawasan (Batang Lupar) tetapi untuk memudahkan perhubungan di mana-mana,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kembara Batang Lupar 2017 anjuran kementeriannya di sini malam tadi.
Katanya, beliau telah menulis kepada kementerian terbabit serta syarikat penyedia telekomunikasi sambil meminta wartawan yang menyertai kembara itu turut menyuarakannya dalam penulisan masing-masing.
Mengenai Kembara Batang Lupar 2017 beliau berkata ia merupakan program yang melibatkan warga organisasi media dari Kuala Lumpur dan Kuching selama tiga hari dan berakhir 22 Okt lepas.
“Tujuan utama kembara ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta berkenaan dengan inisiatif yang dibawa oleh kementerian ke kawasan Parlimen Batang Lupar serta manfaat yang diterima kumpulan sasar kementerian dan masyarakat sekitar,” kata Rohani.
Peserta yang terdiri daripada wartawan, juru gambar, juru video dan blogger turut berpeluang mengenali budaya setempat dan lokasi menarik di sekitar Parlimen Batang Lupar, di samping melakukan program tanggungjawab sosial bersama kumpulan sasar terpilih.
Parlimen Batang Lupar yang berkeluasan 2,024 km persegi terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Sebuyau, Lingga dan Beting Maro serta direntasi tiga sungai utama, iaitu Batang Lupar yang terkenal dengan keganasan buayanya, Batang Sadong dan Batang Saribas.
Pasukan Utusan Kota dari Kuala Lumpur menjuarai kembara itu dan membawa pulang wang tunai RM3,000 sementara naib juara iaitu pasukan Utusan Malaysia menerima wang tunai RM2,400.
Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan STAR Sarawak yang menerima hadiah wang tunai RM2,000, manakala hadiah tempat keempat bernilai RM1,600 dan dan kelima bernilai RM1,000, masing-masing dimenangi pasukan Karangkraf dan TV3 Sarawak. – BERNAMA