KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Timur menahan tiga bot nelayan asing yang menceroboh dan menangkap ikan dan gamat di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada Khamis dan semalam.
Pengarah Maritim Pangkalan Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata hasil marin bernilai RM2.2 juta turut dirampas daripada bot dipercayai dari Vietnam tersebut dalam Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh itu.
Bot pertama ditahan pada 7.35 malam pada Khamis lepas kira-kira 40 batu nautika dari Kuala Kemaman dan tujuh batu nautika dari Tanjung Dungun dan menemukan kira-kira 50 kilogram gamat hidup di dalam bot tersebut, katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya bot kedua dan ketiga pula ditahan pada pukul 6 dan 6.18 petang semalam lebih kurang 48 batu nautika dari Kuala Kemaman dan terdapat kira-kira 1,000 kilogram ikan pelbagai jenis dan 20,000 liter diesel dalam kedua-dua bot tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua lebih 25 awak-awak dan tekong bot berumur antara 16 hingga 52 tahun berkenaan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bot itu juga disyaki menggunakan nombor pendaftaran, lesen dan permit palsu, katanya. – BERNAMA