SEREMBAN – Tiga buah kedai di Jalan Pekan Chengkau, Rembau musnah dalam satu kebakaran, pada 12.40 tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.50 tengah hari.
“Kebakaran mengakibatkan sebuah kedai makan musnah 95 peratus manakala dua lagi iaitu kedai menjual baju dan pemprosesan kelapa, masing-masing musnah 40 peratus di bahagian bumbung,” katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Fuad berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kebakaran berjaya dikawal 10 minit kemudian.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – BERNAMA