JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menziarahi makam kerabat diraja Johor di Makam Diraja Mahmoodiah, Jalan Mahmoodiah, dekat sini, bersempena Hari Hol hari ini.
Baginda tiba di perkarangan makam tersebut kira-kira 9 pagi dan disambut Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; anggota Exco kerajaan negeri dan para pegawai kanan kerajaan.
Tunku Ismail menziarahi makam Almarhum nenda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Januari 2010.
Baginda kemudian menziarahi makam adinda baginda, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang mangkat pada 5 Disember 2015.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan makam apabila melihat baginda berlinang air mata ketika menabur bunga dan merenjis air mawar di makam berkenaan.
Upacara dimulakan seawal 7.30 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran selain bacaan Yasin dan tahlil ketika anggota kerabat diraja menziarahi setiap pusara. – BERNAMA