KUALA LUMPUR – Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), yang diumumkan kerajaan tahun lepas, bertujuan mempersiap negara bagi tempoh 30 tahun akan datang untuk menghadapi pelbagai cabaran masa depan termasuk perubahan geopolitik.
Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini menyatakan antara cabaran yang bakal dihadapi negara adalah peningkatan era pendigitalan dan ‘breakthrough technologies’, perbandaran pesat dan perubahan iklim serta penuaan populasi.
Perubahan geopolitik akan menyaksikan kumpulan negara E7 iaitu Brazil, China, India, Indonesia, Mexico, Rusia dan Turki, yang berkembang pada kadar purata 3.8 peratus setahun, dijangka memacu ekonomi dunia di antara 2014 hingga 2050.
Kumpulan Negara G7 iaitu Amerika Syarikat, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Perancis dan United Kingdom pula diunjur berkembang pada kadar lebih sederhana pada 2.1 peratus setahun bagi tempoh sama manakala China dan India khususnya dijangka menjadi ekonomi terbesar dunia menjelang 2050.
“Sehubungan itu, TN50 akan menumpukan usaha untuk menggembleng kekuatan dan faedah berbanding negara dalam menghadapi perubahan aturan dunia,” kata laporan itu.
Langkah lain yang akan dilaksanakan termasuk pelaburan strategik dan aktiviti perdagangan bagi meraih manfaat daripada peralihan ekonomi kuasa ekonomi dunia demi menjadikan Malaysia dalam 20 negara teratas dunia dari segi pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi menjelang 2050.
Bagi menangani cabaran pendigitalan dan ‘breakthrough technologies’, TN50 akan merangka dasar bagi menarik pelaburan berimpak tinggi untuk mewujudkan pekerjaan moden dan memastikan kebolehpasaran pekerja melalui peningkatan kemahiran, latihan semula dan pembelajaran sepanjang hayat.
Turut diberi penekanan dalam berdepan perbandaran yang pesat adalah penyediaan perumahan yang mencukupi, memastikan pembangunan mapan dan hijau serta meningkatkan kesalinghubungan antara individu dan pekerjaan.
Menurut laporan itu, peningkatan populasi menua akan memberi cabaran kepada kerajaan dalam membiayai skim pencen dan kos penjagaan kesihatan yang meningkat.
Malaysia dijangka menjadi negara menua pada 2020 apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah 7.2 peratus.
Oleh itu, TN50 akan menumpukan usaha bagi membolehkan warga emas mampu menyara hidup serta menggubal dasar dan peratusan yang mesra masyarakat menua,demikian menurut laporan itu. – BERNAMA