TIDAK ada yang lebih menyedihkan selepas berakhirnya tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Keramat, selain membaca pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood.
Mohd Zahid sebenarnya sudah menjadi beg tumbuk bagi pelbagai pihak melepaskan geram sebaik sahaja berita kebakaran itu tersebar.
Ketika belum ada apa-apa petunjuk mengenai punca kebakaran, pengurusan sekolah sudah dipersalahan. Sekali pun selepas penjenayah ditahan, desakan supaya Mohd Zahid dikenakan juga pertuduhan terus disuarakan.
Bukan sedikit tekanan awam disuarakan. Malah, banyak pihak berpengaruh turut mendesak supaya Mohd Zahid didakwa dengan apa sahaja tuduhan berpatutan.
Setakat ini, tiada sebarang tindakan dikenakan pihak berkuasa.
Namun, orang yang anti sekolah tahfiz tetap akan bersuara. Mereka percaya, menyumbat Mohd Zahid ke penjara, akan menjadi pendorong utama sekolah-sekolah tahfiz ditutup.
Serangan ke atas Mohd Zahid adalah simbolik. Ia berniat melumpuh dan menakutkan semua pengendali sekolah tahfiz di negara ini. Golongan liberal sangat takut dengan sokongan dan kebangkitan luar biasa pertumbuhan sekolah tahfiz di negara ini.
Minggu lalu, portal pro pembangkang menyiarkan berita daripada sumber tanpa nama. Namun, ia jelas beridentiti ibu bapa mangsa kebakaran.
Laporan itu yang cenderung menuduh Mohd Zahid sebagai berniat melesapkan wang derma yang diberikan orang ramai dan perlbagai pihak kepada mangsa dan DQI.
Secara jelas, imej Mohd Zahid terjejas teruk kerana kenyataan laporan portal itu bersifat sebelah pihak. Sumber mendakwa, Mohd Zahid enggan bertemu ibu bapa dan waris mangsa. Malah, menuduh pengetua DQI itu, bersikap senyap terhadap status sumbangan derma yang diterima.
Mashaallah! Habis isu nyawa, isu duit jadi pertelingkahan.
Akhirnya, selepas tanah kubur berubah warna, timbul warna wang yang jadi rebutan. Segala kesedihan dan air mata kini kering sudah. Apa yang masih basah ialah: Di mana wangnya!
Mohd Zahid tahu, tuduhan yang disiarkan portal itu, satu fitnah yang menjejaskan imejnya dengan teruk. Tuduhan sumber yang beridentitikan ibu bapa dan waris mangsa memberikan gambaran: Mohd Zahid seorang yang tidak amanah, tidak bertanggung jawab dan berniat menipu wang sumbangan awam.
Bagi menjelaskan keadaan, Mohd Zahid muncul menjawab di berita TV. Dia tenang menjelaskan dua perkara utama berkaitan status wang yang kini jadi rebutan.
Pertama, pihaknya telah melantik auditor bagi mengesahkan jumlah wang derma yang diterima. Kedua, pihaknya juga melantik peguam bagi menguruskan pembahagian kutipan itu mengikut prosedur yang tersusun dan berperaturan.
“Saya sedih apabila dituduh cuba menggelapkan wang sumbangan diterima daripada orang ramai, padahal saya sudah melantik juruaudit bertauliah bagi mengemaskini wang diterima,” ujar Mohd Zahid pada akhbar Harian Metro.
Dalam berita TV pula, Mohd Zahid menjelaskan auditor dan peguam sudah dilantik. Semua proses sedang berjalan. Agihan akan dilaksanakan.
“Urusan mengenai wang sumbangan kini diserahkan kepada juruaudit. Proses akan mengambil masa sebelum peguam membahagikan kepada waris,” katanya.
Ini prosedur. Sebagai pemegang amanah, Mohd Zahid bertanggung jawab memastikan semua proses sensitif ini dikendalikan mengikut standard audit dan perundangan.
“Saya tak pasti bila audit akan selesai sebabnya bukan bidang kerja kita. Cuma, kami akan berbincang mengenai peratusan pembahagian pula sebaik proses itu selesai,” jelasnya.
Kepada ibu bapa, kalaulah benar ada yang menyerang Mohd Zahid secara bersembunyi dengan mendedahkan maklumat sebelah pihak, elok hentikan. Menggunakan saluran secara bersembunyi dan berniat memalukan seorang pengetua tahfiz, satu gambaran akhlak yang rendah.
Apatah lagi dalam menuntut soal wang. Semua orang bersedih. Kita juga bersedih. Malah, kita tahu, wang tidak akan mengembalikan nyawa mereka yang pergi.
Jadi, kenapa kita kelam-kabut dan jadi gelojoh kerana wang! -MYNEWSHUB.CC