KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mencari jalan mentransformasi kemajuan masyarakat India di negara ini ke tahap yang lebih tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Timbalan perdana menteri berkata kerajaan bukan sahaja mendengar masalah dihadapi masyarakat tersebut malah sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam mentransformasikan masyarakat berkenaan ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata transformasi bidang pendidikan, politik dan pembangunan sosioekonomi masyarakat India kini semakin diberi keutamaan oleh kerajaan.
Melalui bidang pendidikan, katanya, ia akan mengubah nasib sesebuah keluarga dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Beliau menarik perhatian, Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara maju tanpa kekuatan dan keprihatinan dalam bidang pendidikan untuk semua kaum dan etnik di negara ini.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek peruntukan penyelenggaraan khas bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 2017 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini.
Kemajuan yang semakin dikecapi masyarakat India adalah hasil kepedulian dan keprihatinan kerajaan yang tidak pernah mengabaikan mana-mana masyarakat dan etnik di negara ini, katanya.
“Saya rasa masyarakat India kini semakin dekat dengan kerajaan (susulan) pelbagai jenis kemajuan (dikecapi mereka). Saya tidak nampak ada sebab atau punca untuk berjauhan antara satu sama lain.
“…dan tiba masanya nanti pada hari besar, (PRU), kita tunaikan tanggungjawab dan dengan memberi mandat sepatutnya demi kemajuan bangsa dan negara,” katanya.
Sebanyak RM25 juta dari RM50 juta Dana Peruntukan Fasa Pertama 2017 telah diagihkan kepada 157 SJKT kerajaan di seluruh negara, setakat ini.
Ketika ini, terdapat 524 buah SJKT seluruh negara di mana 367 buah sekolah adalah bantuan kerajaan manakala 157 buah lagi adalah sekolah kerajaan. – BERNAMA