CHANGSHA – Tren tanpa pemandu pertama di dunia, Transit Rel Autonomi (ART), telah memulakan pandu uji di bandar Zhuzhou di wilayah tengah Hunan, China pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.
Kenderaan elektrik itu bergerak di atas transit rel autonomi, satu sistem pengangkutan bandar yang digambarkan sebagai gabungan sebuah bas, tren dan trem.
Kenderaan yang mempunyai tiga gerabak itu sepanjang 32 meter, memiliki kelajuan maksimum 70 kilometer sejam dan mampu memuatkan sehingga 300 penumpang pada satu-satu masa.
Dilengkapi dengan sensor, ia mampu membaca dimensi jalan. Pada masa ini, ia bergerak di laluan sepanjang 3.1 kilometer dengan empat stesen antara Teater Shennong dan sebuah pusat sukan.
Sistem dan kenderaan itu dibangunkan oleh bahagian penyelidikan syarikat CRRC Zhuzhou Locomotive, yang mengeluarkan bahagian-bahagian utama untuk landasan kereta api berkelajuan tinggi di China.
Feng Jianghua, ketua jurutera dan naib pengurus besar anak syarikat CRRC Zhuzhou, berkata kenderaan itu telah berjaya menjalani pandu uji selama 24 jam tanpa henti.
Sistem pandu sendiri didatangkan dengan tiga atau lima gerabak. Kenderaan itu mampu bergerak sejauh 25 kilometer selepas dicas selama 10 minit.
Tren tiga gerabak akan dijadikan perkhidmatan tetap mulai tahun depan.
Pemajunya berkata sistem itu menelan kos hanya satu perlima daripada sistem trem tradisional yang berharga 150 juta yuan (US$22.6 juta) sehingga 200 juta yuan bagi setiap kilometer laluan. – BERNAMA