KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan laporan sebuah akhbar mengenai Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam yang dikatakan tidak dibaik pulih dan terbiar, sebagai tuduhan yang dibuat tanpa usul periksa.
āTuduhan sembarangan hingga mengabaikan maklumat sebenar,ā katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ahmad Razif berkata beliau bukan sahaja kecewa dengan laporan terbabit, malah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman fitnah demi menjaga nama baik kerajaan negeri.
Katanya, akhbar terbabit telah diberitahu mengenai kesungguhan kerajaan negeri membaik pulih Masjid Kristal, namun beliau kesal kerana akhbar itu menyiarkan laporan yang tidak berasas hingga menimbulkan pelbagai spekulasi yang memberi impak kepada usaha Visit Beautiful Terengganu 2017.
“Adanya berita tidak benar ini menimbulkan dakwaan seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri bersikap ‘lepas tangan’ terhadap Masjid Kristal sedangkan hakikatnya proses pembaikan sedang berlaku di masjid itu.
“Masjid Kristal sebagai sebuah ikon dan produk pelancongan terkenal Terengganu, kerajaan negeri sentiasa memastikan penambahbaikan terhadap lokasi itu namun ia tidak berlaku ‘sekelip mata’ sebaliknya proses pembaikan itu sudah pasti mengambil sedikit masa,” katanya.
Menurutnya, beliau dan beberapa pegawai terlibat termasuk daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) telah melakukan lawatan bagi melihat kerosakan di Masjid Kristal pada 11 Ogos lepas dan hasilnya, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM305,000 kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk menggantikan 28 keping cermin yang pecah.
āPihak JKR (Jabatan Kerja Raya) diminta menyediakan anggaran untuk melakukan kerja-kerja āwaterproofingā. UPEN telah menerima anggaran kos daripada JKR kira-kira dua minggu lepas dan telahpun menghantar surat kelulusan sebanyak RM584,000 kepada JKR untuk melakukan kerja-kerja tersebut.
āSekarang ini ia dalam proses angkat persetujuan untuk lantikan terus memandangkan kerja-kerja tersebut memerlukan kepakaran dan kerja segera… Jadi jumlah keseluruhan peruntukan diluluskan oleh kerajaan negeri untuk membaiki kerosakan Masjid Kristal adalah sebanyak RM889,000,ā katanya.
Tambahnya proses pembaikan masjid itu sedang berjalan dan pengeluaran tender untuk pembaikan keseluruhan akan dibuat selepas proses menukar cermin kristal baharu selesai.
Semalam, akhbar terbabit melaporkan kekecewaan pengunjung Masjid Kristal mengenai tahap kebersihan dan kerosakan yang berlaku di masjid itu, serta menyatakan ia kini sepi dan suram. – BERNAMA