ALOR SETAR – Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid, Ketua Wanita UMNO Jerlun selama hampir 20 tahun merupakan seorang yang sangat terkenal dengan sifatnya yang suka membantu dan mahu melihat wanita di kawasannya berjaya dalam perniagaan.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sharif berkata, sepanjang Allahyarham menjadi ketua wanita, beliau tidak pernah jemu membimbing golongan wanita yang hanya sekadar menjalankan perniagaan kampung seperti kerepek pisang untuk menjadi usahawan berjaya.
“Allahyarham mahu melihat sesuatu perubahan kepada kehidupan kaum wanita dengan sering memberi motivasi dan bantuan kewangan kepada golongan wanita agar lebih berdaya saing serta berani mencuba sesuatu yang baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Allahyarham Maznah, yang berasal dari Ayer Hitam dekat sini, meninggal dunia pada usia 62 tahun di Institut Jantung Negara pada 6 petang tadi setelah kritikal kira-kira lima hari akibat komplikasi pendarahan dalam selepas pembedahan jantung pada Jumaat lalu.
Sebelum ini, Allahyarham pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Kedah selain Pengerusi Biro Pembangunan Usahawan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.
Katanya, sesuai dengan gelaran ‘Iron Lady’, Allahyarham merupakan seorang wanita yang sangat berani dan tidak pernah peduli tentang apa juga kritikan negatif terhadap dirinya sehingga membolehkan Allahyarham menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce.
“Dalam berpolitik, Allahyarham selalu melontarkan pandangan yang bernas bagi membawa parti lebih maju ke hadapan,” katanya.
Katanya, pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan yang amat besar kepada seluruh negara khususnya UMNO Jerlun yang masih memerlukan sumbangan dan khidmat baktinya terhadap parti itu.
“Saya mewakili UMNO Jerlun mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham..sesungguhnya kita semua amat terkejut dengan pemergian ini dan berharap agar roh Allayarham dicucuri rahmat,” katanya. -BERNAMA