ARAU – Universiti perlu berubah supaya seiring dengan revolusi perindustrian 4.0 melibatkan teknologi automasi digital yang maju, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Menurut baginda senario revolusi 4.0 yang penuh dengan cabaran baharu memerlukan semua pihak khususnya universiti melakukan perubahan agar terus kekal relevan dan berdaya saing.
“Internet baharu seperti Internet of Things (IoT), animasi, analisis, data raya, simulasi, integrasi sistem robotik dan ‘cloud’ serta pelbagai lagi akan menyemarakkan kemajuan landskap dunia moden,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan sidang kelima Istiadat Konvokesyen ke-12 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induk universiti di Pauh Putra, di sini hari ini.
Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP bertitah inisiatif UniMAP menawarkan beberapa kursus teknologi kejuruteraan dengan menumpukan kepada kemahiran teknikal dan praktikal dilengkapi kemudahan berskala industri adalah sangat baik.
“Beta yakin UniMAP akan terus melaksanakan langkah yang perlu untuk kekal relevan bagi memenuhi keperluan semasa agar kebolehpasaran graduannya terus meningkat,” tambah Tuanku Syed Faizuddin.
Pada sesi itu baginda berkenan menyampaikan ijazah kepada 440 graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) pelbagai bidang.
Sebelum istiadat bermula, baginda yang juga pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berkenan menyampaikan replika cek yayasan diraja itu bernilai RM10,000 kepada Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP. – BERNAMA