KUALA LUMPUR – Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengatur dan mengolah semula dunia bola sepak tanah air daripada peringkat akar umbi agar mampu kembali bersaing dan menjadi nama tersohor di dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata antara faktor perlu diberi perhatian adalah pandangan sesetengah ibu bapa yang mungkin tidak melihat kerjaya sebagai pemain bola sepak mempunyai masa depan, dan tanggapan itu perlu ditukar.
“Kita juga perlu menyediakan platform untuk firma-firma korporat turut melihat nilai dan pulangan dalam menaja bola sepak di Malaysia, sama ada pemain kita, kelab dan skuad kebangsaan di setiap peringkat umur, sebagaimana pelabur dan firma korporat gergasi antarabangsa yang menaja kelab-kelab besar di Eropah.
“Tajaan amat penting dalam memastikan kelestarian dan pembangunan bakat serta masa depan sukan,” katanya dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com malam ini, bertajuk ‘Harimau Malaya akan bangkit semula’.
Untuk rekod, pasukan bola sepak negara tewas di tangan Hong Kong 0-2 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, semalam.
Najib berkata sistem pencarian bakat di peringkat akar umbi juga perlu diperkuatkan agar dapat mencungkil bakat-bakat terpendam untuk masa hadapan.
“Kita perlu membangunkan malah memberi nafas baharu kepada industri bola sepak secara keseluruhannya, sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh kerajaan atau badan induk semata-mata, tetapi perlu juga mendapat input, sokongan dan kerjasama daripada peminat, badan korporat, pelabur, kepakaran daripada institusi sains sukan dan perubatan, akademi bola sepak awam dan swasta serta pihak-pihak berkaitan lain.
“Dalam erti kata lain, kita memerlukan anjakan paradigma, atau “mentality shift” dalam kalangan penggiat sukan bola sepak tanah air. Kesemua ini mengambil masa, kita tidak akan mampu mencapai perubahan dalam masa yang singkat,” katanya.
Mengambil contoh pasukan bola sepak kegemaran beliau, Manchester United, Najib berkata pasukan itu mengambil masa tujuh tahun selepas pelantikan Sir Alex Ferguson untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan 13 tahun sebelum memenangi Liga Juara-juara di peringkat kelab, malah di peringkat kebangsaan mengambil masa yang lebih lama.
“Kita perlu beri ruang dan masa kepada mereka yang bertanggungjawab untuk membina semula sukan bola sepak negara, dan saya yakin penambahbaikan dan usaha yang sedang dilakukan FAM di bawah kendalian DYAM Tunku Mahkota Johor mampu membuahkan hasil,” katanya.
Menurutnya, meskipun berbangga dengan kemenangan di Piala Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2011, perlu diakui bahawa sejak kebelakangan ini, prestasi pasukan negara agak suram dan tidak begitu konsisten.
Pada masa sama, Najib menyeru kesemua pihak yang terlibat sama ada Kementerian Belia dan Sukan, akademi bola sepak awam mahupun swasta, badan korporat serta peminat untuk terus bekerja bersama-sama bagi mencapai matlamat dan impian sama dalam bola sepak.
“Kepada pemain kebangsaan, teruskan berusaha dan cuba lagi. Kegagalan sekali tidak bermakna gagal selamanya. Begitu juga dengan para pemain di sekolah, akademi, akar umbi, teruskan berusaha dan sasarkan kejayaan. Saya dan semua rakyat Malaysia akan terus menyokong.
“Bola sepak memerlukan sokongan dan usaha bersama daripada kita semua untuk membawanya kembali ke persada, barulah Harimau Malaya akan bangkit semula!” kata Najib. – BERNAMA