HENAN – Video mengenai seorang kanak-kanak yang terselamat selepas dilanggar dan digilis sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di bandar Zhoukou, wilayah Henan tular di Internet pada minggu ini
Lapor Shanghaiist, dalam kejadian 8 Oktober lalu itu, video rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa berumur dua tahun berkeliaran di kawasan tempat letak kereta seorang diri.
Bagaimanapun, muncul sebuah SUV berwarna putih yang dipandu perlahan membelok ke arah kanak-kanak itu.
Mangsa cuba mengelak berada di laluan kenderaan itu, malangnya tidak sempat dan dia dilanggar sebelum terjatuh lalu digilis tayar depan dan belakang kereta itu.
Apa yang mengejutkan, selepas kejadian itu, mangsa terus berdiri dan berlari ke rumahnya.
Dalam temubual bersama media, ibu mangsa berkata, ketika kejadian itu, dia meninggalkan anaknya bersendirian lebih kurang satu minit sementara dia pergi mengambil kunci untuk mengunci pintu rumahnya.
Apabila dia melihat anaknya yang berlari meluru ke arahnya dalam keadaan menangis, dia menyangka mangsa terjatuh atau tergelincir.
Selepas menonton semula video rakaman CCTV yang menunjukkan anaknya dilanggar, alangkah terkejutnya wanita itu dan bagaikan tidak percaya yang anaknya masih hidup selepas digilis kereta tersebut.
Mangsa kemudian dibawa pergi ke hospital dan doktor yang memeriksa mangsa berkata, tiada sebarang kecederaan serius pada anaknya.
Sementara itu, pemandu kereta SUV itu telah ditangkap dan polis sedang menyiasat kes tersebut. – MYNEWSHUB.CC