KEMAMAN – Gelagat dua lelaki yang cuba melarikan diri dengan cara ‘luar biasa’ selapas merompak di sebuah kompleks beli belah di sini, berjaya dirakam kamera litar tetutup (CCTV).
Dalam kejadian kira-kira jam 12.53 tengah malam di Kompleks Kemaman Central Point, dua suspek lingkungan usia lewat 20-an itu memecah masuk ke pusat beli belah berkenaan.
Mereka memotong mangga salah satu pintu masuk di belakang bangunan. Tindakan suspek yang bersenjatakan batang besi dan sebilah pisau itu bagaimanapun mengundang padah.
Ia berlaku apabila kehadiran mereka kemudian berjaya disedari beberapa pengawal keselamatan yang kemudian bertindak pantas membuat panggilan polis.
Dua suspek berkenaan menerusi rakaman CCTV cuba melindungi diri di sebalik bunting atau gegantung iklan ketika menuruni eskalator daripada dikesan pengawal keselamatan yang memantau rakaman.
Namun dengan bantuan daripada polis, pihak pengurusan kompleks itu dan bersama dengan beberapa orang awam segera mengepung bangunan tersebut.
Menurut Afzulnizam Aris, dia yang memuat naik gambar dan video kejadian berkata, ketika mereka cuba menahan dua lelaki itu, salah seorang daripadanya cuba melibas batang besi ke arah mereka.
Mujur mereka sempat mengelak. Kedua-dua suspek itu akhirnya berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MYNEWSHUB.CC