SHAH ALAM – Wanita rakyat Vietnam yang menghadapi tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, didakwa ‘melakukan sesuatu’ kepada orang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dua hari sebelum lelaki itu mati.
Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Sepang/KLIA, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang itu, Doan Thi Huong didapati ‘melakukan sesuatu’ secara lembut kepada orang awam tetapi melakukan perbuatan sama secara kasar seperti serangan terhadap Kim Chol.
“Tindakan tertuduh Doan pada ketika itu, saya dapati dia menghampiri orang awam yang dipilih olehnya secara rawak dan kemudian dia menyapu sesuatu ke muka orang awam itu dari arah belakang secara lembut.
“Kemudian apabila orang awam tersebut berpaling ke arahnya, tertuduh seakan-akan meminta maaf dengan cara menundukkan sedikit kepalanya dan merapatkan kedua-dua belah tangannya ke arah orang awam itu. Kemudian, Doan berundur dua tiga langkahserta berpaling dan beredar dari situ secara perlahan-lahan,” katanya yang merujuk keterangannya berdasarkan CCTV bernombor 21 bertarikh 11 Februari lepas.
Saksi kesembilan itu berkata rakaman CCTV berlainan iaitu pada hari kejadian (13 Februari 2017) menunjukkan perbezaan yang amat ketara di mana Doan melakukan tindakan yang sama terhadap Kim Chol tetapi secara kasar seperti melakukan serangan.
“Bagi saya, tindakan itu agak agresif. Perbezaan lain adalah dari segi tertuduh Doan berjalan secara laju dan tergesa-gesa,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin apa perbezaan antara tindakan Doan terhadap orang awam dan si mati.
Beliau berkata rakaman CCTV pada hari kejadian dibuat di Aras 3, berhampiran dengan kawasan pemeriksaan masuk sendiri di Balai Berlepas klia2 manakala CCTV 21 menunjukkan kejadian berlaku di kawasan zon hijau Aras 3 klia2.
Wan Azirul Nizam berkata demikian pada hari keenam perbicaraan warganegara Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan, 28, yang didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Menjawab soalan Wan Shaharuddin, saksi itu berkata beliau menyiasat perbezaan di antara 23 CCTV yang diperolehnya untuk membuat perbandingan bagi membuktikan sama ada kedua-dua tertuduh itu mempunyai niat untuk melakukan bunuh.
Dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai penyiasat kes itu, Wan Azirul Nizam berkata beliau mengambil kira butir-butir lain yang ada seperti rakaman CCTV yang dapat membantunya menjalankan siasatan melihat rakaman itu di bilik monitor di lokasi kejadian.
Selain merakamkan percakapan saksi-saksi pendakwaan dan pakar, beliau turut merakam percakapan Doan dan Siti Aisyah, katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. – BERNAMA