YAN – Pendatang baharu, Pasukan Sapura Cycling (TSC) meraih kejuaraan peringkat sulung pada Jelajah Malaysia (JM) dan gelaran Raja Bukit (jersi Polka-Dot) apabila Wilmar Jahir Perez Munoz berjaya menakluk puncak Gunung Jerai setinggi 1,217m, di sini hari ini.
Pelumba Colombia berusia 31 tahun itu memenangi perlumbaan peringkat keempat melibatkan jarak 101.3km dari Kulim ke Gunung Jerai, dengan pendakian berstatus hors sejauh 10km menuju ke puncak gunung berkenaan, dengan catatan dua jam, 50 minit dan 41 saat untuk kejuaraan berganda.
Beliau mengatasi Samuel Volkers daripada Pasukan CCN Cycling (2:51:22s) dan rakan sepasukan Victor Nino Corredor (2:52:31s), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Wilmar meraih 25 mata selepas menjuarai pendakian kategori hors tersebut untuk mengumpul keseluruhan 29 mata untuk selesa mendahului dengan tujuh mata ke atas pencabar terdekat, pelumba pasukan Oliver’s Real Food Racing, Brendon Davids.
Berikutan perlumbaan peringkat akhir edisi ke-53 jelajah berkenaan di Alor Setar itu esok, hanya membabitkan satu kategori pendakian di Wang Tebus yang menawarkan maksimum empat mata, gelaran Raja Bukit sudah pasti milik Wilmar.
Namun, TSC terlepas peluang merampas gelaran juara keseluruhan (jersi kuning) daripada pelumba Afrika Selatan, Brendon apabila seorang lagi pelumba Colombia Victor Nino Corredor di kedudukan kedua, dengan hanya ketinggalan 24 saat di belakang Brendon yang mendahului dengan catatan keseluruhan 13:26:09s.
“Perancangan kami untuk memenangi perlumbaan peringkat dan jersi kuning, tetapi pelumba Oliver’s terlalu hebat untuk dipintas. Namun, kami gembira dengan kemenangan peringkat ini, gelaran Raja Bukit dan mendahului kategori Pelumba Terbaik Malaysia (jersi merah).
“Kami akan lebih agresif dan pelumba pecut dalam pasukan diharap dapat memenangi perlumbaan esok. Kami juga berharap tidak terlepas sebarang jersi yang kami raih setakat ini,” kata pengarah pasukan Sergio Escobar Roure selepas majlis penyampaian hadiah.
Ditubuhkan pada Januari tahun ini, Pasukan Sapura Cycling meraih kemenangan peringkat di Jelajah Lombok menerusi Wilmar pada April lepas, dan Jelajah Molvccas melalui Akmal Hakim Zakaria pada bulan lepas.
Sementara itu, pelumba tempatan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki daripada Terengganu Cycling Team dan Muhammad Zawawi Azman yang mewakili TSC, masing-masing mengekalkan gelaran Raja Pecut (jersi hijau) dan Pelumba Terbaik Malaysia (jersi merah).
Pelumba Australia Ryan Thomas daripada pasukan Oliver’s Real Food Racing, turut berjaya mempertahankan gelaran Pelumba Muda Terbaik (jersi kelabu) sejak meraihnya pada peringkat pertama, dengan catatan keseluruhan 13:28:37s.
Peringkat kelima dan terakhir sejauh 132.8km esok, bermula dan berakhir di Menara Alor Setar, melibatkan tiga zon pecutan di Jitra, Pokok Sena dan Alor Setar, selain zon pendakian di Wang Tepus. – BERNAMA