MASIH ingat lagi dengan video memaparkan kisah seorang perancang perkahwinan diserang dan didakwa menipu sehingga menjadi tular menerusi laman sosial?
Pada 5 September lalu, Zurin Jundi Wedding Planner menerusi peguamnya, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar menyatakan yang mereka akan membuat pembayaran balik secara berperingkat kepada beberapa pelanggan yang mendapat perkhidmatan kurang memuaskan.
Baca: Perancang Perkahwinan Akan Bayar Ganti Rugi
Namun, timbul pula spekulasi yang mengatakan pengasasnya, Zurina Ahmad Jundi menghilangkan diri kerana desakan yang diterima daripada pelanggan-pelanggannya.
“Saya tak lari, malah setiap hari saya usaha untuk pulang semula wang bayaran pakej perkahwinan pelanggan yang tidak mahu meneruskan perkhidmatan kami sebelum ini,” katanya dipetik Harian Metro.
Zurina menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya dan memberitahu yang dia kini dalam proses rundingan harga dengan pembeli-pembeli yang ingin membeli butik-butiknya itu.
Tambahnya lagi, dia turut menjual rumah serta aset peribadi miliknya sebagai usaha untuk membayar semula kepada pelanggan.
Dalam pada itu, dia meminta para pelanggannya untuk bersabar kerana tuntutan deposit yang dibuat pelanggan bukanlah sedikit dan jumlah keseluruhan menjangkau sehingga RM800,000.
Menurutnya lagi, proses pembayaran semula deposit itu boleh diselesaikan dalam tempoh enam bulan sekiranya segala urusan berjalan dengan lancar.
“Saya serahkan urusan bayaran balik ini kepada peguam saya, dan untuk pengetahuan ramai beberapa pelanggan sudah menerima wang tuntutan mereka cuma kami tidak boleh war-warkan siapa orangnya atas keselamatan mereka.
“Ada pelanggan yang dikecam serta dipersoalkan selepas terima bayaran, jadi beberapa pelanggan minta supaya rahsiakan nama apabila sudah menerima bayaran atas tujuan keselamatan,” katanya.
Zurina turut menyatakan yang dia bukanlah tidak mahu berjumpa dengan pelanggan-pelanggannya itu, sebaliknya keadaannya yang tertekan menyebabkan perkara tersebut terjadi.
Tambahan pula, dia seakan-akan serik dengan ‘perangkap’ pelanggannya yang menyerang dan memberikan ugutan.
“Saya mengaku pihak saya ada buat kesilapan tetapi tiada niat nak menipu atau aniaya kerana jika benar saya nak menipu untuk kaut keuntungan, sejak awal kewujudan Zurin Jundi lagi kami boleh tipu jutaan ringgit.
“Sepuluh tahun kami naikkan nama butik ini dan mendapat kepercayaan ramai termasuk golongan artis, tetapi disebabkan kecuaian yang berlaku, nama butik ini jatuh teruk,” ujarnya.
Terdahulu, Zurina ada mengeluarkan kenyataan yang pihaknya telah disabotaj oleh beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Zurin Jundi Wedding Planner. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim