SEORANG lelaki di Itali mengurung wanita berusia 29 di bilik bawah tanah di rumahnya dan memperkosa mangsa secara berterusan selama 10 tahun sehingga melahirkan dua anak.
Memetik The Sun, Aloisio Francesco Rosario Giordano, 52, yang juga juga diberi julukan ‘The Italian Fritzl’ telah ditahan polis pada hujung minggu lalu.
Lebih mengejutkan, ini bukan kali pertama dia ditangkap dan didakwa atas kesalahan itu.
Pada 1995, dia pernah dipenjara atas kesalahan menculik, merogol dan menyeksa seorang wanita lain.
Selepas dibebaskan atas alasan berkelakuan baik pada 1999, Giordano pulang ke rumahnya di Gizzeria untuk menjaga isterinya yang sakit serta dua anaknya.
Ketika itulah dia mengupah seorang wanita berusia 19 tahun yang baru tiba di Itali untuk menjaga isterinya.
Namun, malang nasib mangsa apabila dia dikurung di sebuah bilik bawah tanah selepas kematian isteri Giordano.
Sedekad lamanya wanita itu hidup di ‘neraka’ itu tanpa diberi kemudahan air dan elektrik.
Malah, dia turut dirantai pada katil selain dirogol berkali-kali sehingga melahirkan anak lelaki dan perempuan yang kini berusia sembilan dan tiga tahun.
Tambah laporan portal itu, anak-anaknya dipaksa melihat ibu mereka diseksa suspek dan akan dibelasah jika enggan menakukannya.
Lebih menyedihkan, Giordano akan menggunakan tali pancing untuk menjahit luka di tangan mangsa akibat digari.
Polis hanya menghidu kejadian itu apabila mereka menahan kenderaan Giordano ketika melakukan pemeriksaan polis dan menyedari keadaan kanak-kanak lelaki terbabit yang tidak terurus.
Curiga dengan keadaan itu, polis mendesak untuk melawat rumah mereka. Ketika itulah mereka menemui mangsa bersama anak perempuannya dalam keadaan menyedihkan.
Mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu memberitahu, dia langsung tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar.
Susulan itu, Giordano ditahan dan didakwa atas tuduhan menganiaya keluarga, perhambaan dan keganasan seksual. – MYNEWSHUB.CC