PADANG – Polis menembak mati dua suspek militan yang disyaki membakar bangunan ibu pejabat polis Dharmasraya di wilayah Sumatera Barat pada awal pagi semalam.
Jurucakap polis Indonesia, Rikwanto berkata, anggota bomba yang memadamkan kebakaran yang bermula pada pukul 2.45 pagi (waktu tempatan) melihat dua lelaki membawa panah.
Katanya, polis cuba menahan lelaki berkenaan untuk pemeriksaan tetapi mereka melawan dan melepaskan panah ke arah polis.
“Polis melepaskan tembakan amaran tetapi tidak diendahkan suspek yang terus menyerang polis.
“Kami tiada pilihan selain membalas serangan yang menyebabkan kedua-dua suspek maut,” katanya yang dipetik Jakarta Post.
Pemeriksaan pada suspek menemui busur, beberapa anak panah, dua pisau dan satu surat yang menggesa jihad dilakukan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Azzam Al Arkhobiliy.
Antara melaporkan, kebakaran itu tidak menyebabkan kecederaan dan sembilan tahanan dipindahkan ke lokasi selamat.
Pihak berkuasa masih menyiasat kejadian itu dan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan. – Agensi/myMetro Online