KUALA LUMPUR – Dua rakan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki warga Myanmar pada bulan lepas.
Nazri Abdullah, 28, dan Richard, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.
Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama tiga suspek yang masih bebas merompak telefon bimbit dan RM200 milik Mohamad Tidar Firus Miya ,25, seorang tukang kebun di Jalan Leboh Pudu, Dang Wangi di sini pada 5 petang, 30 Okt 2017.
Nazir yang bekerja sebagai juruteknik manakala Richard yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam Razman Sahat yang mewakili Nazri memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin manakala Richard yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan Nazri diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap sebulan dan menetapkan 14 Nov untuk sebutan semula kes. – BERNAMA