PORT DICKSON – Sejumlah 239 kadet yang menyertai Kursus Asas Pegawai Imigresen Siri 4, 2017 melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam satu majlis di sini malam ini.
Bacaan IBR yang diketuai Muhammad Hassriee Mohd Tayazi dilafazkan di hadapan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.
Mustafar dalam ucapannya pada majlis itu mengingatkan peserta supaya ikrar itu terpahat diminda dan dizahirkan melalui perbuatan.
“Uniform yang kita pakai ini adalah amanah… jangan ingkari amanah yang telah diberikan kepada kita. Kita tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan negara kita.
Kita juga tidak akan berkompromi dengan pegawai yang melakukan salah laku. Kita tidak mahu ada duri dalam daging, api dalam sekam dan nila kerana nila setitik boleh merosakkan imej organisasi,” katanya di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Nor Azidah Muhammad.
Mustafar juga berharap agar jabatan itu kekal cemerlang tanpa ada seorang pun dalam kalangan warganya terpalit dengan rasuah.
“Kita adalah jabatan yang bermaruah dan rasuah bukan budaya kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada masyarakat agar tidak sesekali cuba menawarkan rasuah kepada warganya.
“Jika ada didapati mereka yang cuba beri rasuah kepada pegawai, mereka boleh ditangkap oleh pegawai kita,” katanya sambil menambah perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Pada majlis itu, kesemua kadet turut disajikan dengan siri pendedahan kisah seorang bekas banduan yang sebelum ini dipenjara ekoran rasuah. – BERNAMA