BAGAN SERAI – Lima pemandu lori dan empat kelindan antara 25 individu ditahan dalam operasi bersepadu di kawasan rehat dan rawat Gunung Semangggol arah Selatan dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaakob berkata mereka ditahan setelah ujian air kencing mendapati kesemuanya positif methamphetamine.
“Kita mengadakan operasi ini untuk membanteras pemandu dan kelindan kenderaan perdagangan yang mengambil dadah kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan di jalan raya.
“Selain itu, ia juga bagi mengesan kemasukan pendatang asing yang menggunakan perkhidmatan bas dan pesalah trafik,” katanya dalam sidang media selepas operasi di sini malam tadi.
Operasi yang bermula 10 malam dan berakhir 12.30 tengah malam tadi disertai anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanyajaya Pengangkutan Darat Malaysia (SPAD), Jabatan Alam Sekitar, PLUS Berhad, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Puspakom bertujuan melaksanakan penguatkuasaan kesalahan trafik membabitkan kenderaan perdagangan seperti lori dan bas.
Omar Bakhtiar berkata sembilan pendatang tanpa izin (PATI) iaitu tiga masing-masing warga Indonesia dan Myanmar, Vietnam (dua) serta seorang dari Mesir ditahan kerana tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah.
Dalam operasi itu, sebanyak 286 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 190 kenderaan perdagangan diperiksa.
“Kami akan mengadakan operasi ini dari semasa ke semasa bagi mengesan pemandu kenderaan perdagangan yang didapati memandu dalam keadaan berbahaya dan mengambil dadah,” katanya. – BERNAMA