SHAH ALAM – Tiga sekolah masing-masing satu dari Melaka, Johor dan Sabah dinobatkan sebagai juara bagi tiga kategori yang dipertandingkan dalam ‘National Code Challenge (NCC) 2017’, menewaskan 60 sekolah dari seluruh negara.
Pasukan Nur Auni dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jasin, Melaka muncul juara bagi kategori Immersion menerusi aplikasi perintis ‘Personal Financial Companion’ manakala pasukan ‘Pioneer Team 4’ dari SK Taman Tampoi Utama, Johor
memenangi kategori Alumni melalui ciptaan aplikasi yang menyalurkan maklumat mengenai seni mempertahankan diri.
‘Team 30 Sanza Coder’ dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Kota Kinabalu, Sabah pula mencipta aplikasi perintis ‘Treax’, yang menyalurkan informasi tentang pilihan gimnasium kepada pengguna dipilih sebagai johan bagi kategori Hackathon.
Ketiga-tiga juara menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil penyertaan serta barangan elektronik manakala pemenang tempat kedua dan ketiga membawa pulang wang tunai masing-masing RM3,000 dan RM2,000, sijil penyertaan serta barangan elektronik.
Hadiah disampaikan Ketua Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan Datuk Dr Aminuddin Hassim dalam majlis penyampaian hadiah dan penutupan NCC 2017, di sini malam tadi.
Bagi ketua kumpulan Nur Auni, Nur Auni Mohd Haniff, 10, beliau serta dua lagi rakan sepasukan memanfaatkan peluang empat hari menyertai program NCC dan menjadikannya batu loncatan untuk mereka meneruskan minat yang mendalam dalam bidang pengekodan.
“Walaupun tempoh (NCC) pendek, tapi terlalu banyak ilmu yang kami dapat…sebelum ini tak banyak tahu buat pengekodan, tapi dalam program ini banyak pendedahan yang menggalakkan lagi minat kami dan kami akan teruskan belajar apa yang sudah ditunjukkan di sini,” katanya.
Senada dengan Nur Auni, ketua kumpulan juara kategori Alumni, Fiffy Natasha Muhammad, 12, menyifatkan pengisian program NCC mampu memupuk minat peserta untuk terus mendalami bidang itu selain ia juga mendedahkan mereka kepada bahasa pengekodan baharu.
Katanya walaupun peringkat permulaan mengenali bidang pengekodan agak sukar, namun ia tidak mematahkan semangat kumpulannya untuk terus berusaha kerana keseronokan mempelajari ilmu itu dirasai apabila berjaya menghasilkan aplikasi.
Ketua kumpulan juara kategori Hackathon, Mohd Afiq Iskandar, 14, berkata semua remaja dan kanak-kanak yang berminat dengan dunia internet dan teknologi disaran supaya lebih berani menyertai mana-mana pertandingan bagi mengetengahkan idea serta kebolehan mereka.
“Dunia pengekodan ini amat luas dan boleh belajar di mana-mana…walaupun pada mulanya kami tidak minat pun bidang ini, tapi selepas didedahkan dan diberi tunjuk ajar, baru kami nampak keseronokannya dan ia memupuk minat kami. Pengekodan tidak sukar sekiranya ada minat,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata NCC adalah lanjutan daripada program Coding@Schools yang dijalankan di lebih 150 sekolah seluruh negara dan ia dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan bersama Kementerian Pendidikan sejak tahun lepas.
Beliau berkata penyertaan program NCC dan Coding@Schools tahun ini turut melibatkan sekolah dari luar bandar, namun tahap pemahaman pengekodan dan mutu persembahan yang ditunjukkan pelajar itu setanding dengan pelajar lain.
Katanya ini kerana, capaian dunia internet dan komunikasi digital yang amat luas membuka peluang kepada pelajar untuk berkongsi idea dan mewujudkan rangkaian melalui mana-mana portal serta bertukar maklumat demi mendalami bidang pengekodan.
“Saya harap program NCC dan Coding@Schools ini dapat memberi banyak manfaat kepada sekolah yang mengambil bahagian, malah guru-guru juga amat digalakkan untuk memberikan input supaya program ini dapat ditambah baik pada masa depan.
“Pada pembentangan Bajet 2018 lepas juga, kerajaan memberi peruntukan untuk kita teruskan program ini pada tahun depan kerana kita mahu lebih ramai lagi pelajar dapat menyertai Coding@Schools, supaya negara mempunyai generasi pelapis bidang pengekodan yang hebat ke arah menuju Transformasi Nasional 2050,” katanya.
Program yang masuk tahun kedua penganjurannya itu telah memberi manfaat kepada 9,000 pelajar berumur 10 hingga 12 tahun di seluruh negara, yang mana pengisiannya antara lain mendedahkan peserta dalam dunia pengekodan menggunakan bahasa HTML, CSS dan JavaScript, selain penggunaan aplikasi LiveCode serta jQuery Mobile. – BERNAMA