SUNGAI PETANI – Lima sekeluarga rentung termasuk dua kanak-kanak, manakala seorang emas melecur 70 peratus dalam kebakaran empat rumah di Taman Petani Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Kebakaran berlaku kira-kira jam 4 pagi di Kampung Baru Sungai Gelugor di Taman Petani, membabitkan sederet empat rumah papan yang didiami lebih 20 penghuni .
Berdasarkan maklumat, mayat wanita ditemui di hadapan pintu salah sebuah rumah yang rentung, manakala empat ahli keluarganya yang lain ditemui rentung di bahagian dalam bilik.
Warga yang melecur pula berjaya diselamatkan orang ramai selepas keluar dari rumah.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mazukhi Shaffie, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 4.11 pagi, sebelum tiga jentera dan dua EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Tikam Batu dikejarkan ke lokasi bersama 20 pegawai dan anggota.
Katanya, pihaknya mengambil masa 12 minit untuk mengawal api dari merebak ke rumah yang lain dan api dapat dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian.
“Setakat ini lima mangsa disahkan rentung dan seorang melecur dan kita masih melakukan pemeriksaan di lokasi untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – BH ONLINE