KLANG – MIC Bahagian Kota Raja dengan kerjasama Care United Johor Bahru, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, hari ini menyerahkan sumbangan barangan kelengkapan sekolah kepada 500 pelajar sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan itu.
Ketua Bahagiannya, Datuk R S Maniam berkata melalui program ‘Kembali ke Sekolah’ anjuran pihaknya itu, setiap pelajar yang dipilih menerima sumbangan berupa barang kelengkapan sekolah dan baucer membeli barangan keperluan harian di pasar raya terkenal.
“Dianggarkan setiap pelajar menerima sumbangan bernilai kira-kira RM150 dan pelajar ini dipilih melalui senarai yang diberi oleh guru besar di tujuh buah sekolah rendah terpilih di sekitar kawasan Parlimen Kota Raja.
“Jika sebelum ini kami hanya dapat beri sumbangan untuk kira-kira 200 orang, tetapi sejak tahun lepas dengan sumbangan daripada Care United Johor Bahru jumlah penerima bertambah menjadi 500 orang,” katanya kepada pemberita pada majlis itu yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Batu Ampat di sini.
Turut hadir Naib Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Care United Johor Bahru, Florence Goh.
Vigneswaran dalam pada itu mengalu-alukan mana-mana NGO dan badan korporat untuk turut serta menyumbang dalam program seperti yang dianjurkan MIC Kota Raja tersebut yang terbukti dapat mengurangkan bebanan ibu bapa ketika permulaan musim persekolahan. – BERNAMA