KOTA KINABALU – Konsul Besar China di Sabah yang baru dilantik, Liang Caide berkata usaha mengeratkan lagi hubungan dagang dan ekonomi, termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), akan menjadi keutamaan beliau sepanjang tempohnya di sini.
Beliau berkata, inisiatif itu telah digalakkan secara aktif dan Malaysia merupakan antara negara pertama yang memberi maklum balas terhadapnya.
“Kami menganggap Sabah sebagai kawasan yang sangat penting bagi usaha ini dan berharap lebih banyak syarikat (China) yang berminat melabur di sini.
“Ini memandangkan Sabah memiliki kelebihan yang unik – lokasi strategik – serta sumber manusia dan budaya. Ia mempunyai banyak potensi dengan pembukaan perdagangan dan ekonomi,” katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada jawatan kuasa Persatuan Wartawan Sabah, diketuai Mugunthan Vanar di sini, hari ini.
Liang menggantikan Konsul Besar China di Sabah pertama, Chen Peijie, yang kembali ke Beijing baru-baru ini selepas memegang jawatan itu sejak Januari 2015.
Syarikat China banyak terlibat dalam projek pembinaan dan kereta api di Sabah, termasuk ‘The Shore’, pembangunan komersial di pusat bandar, katanya.
Beliau berkata, terdapat lebih banyak peluang bagi kerjasama dalam sektor pembinaan dan pembuatan, khususnya bagi projek utama seperti Terminal Minyak dan Gas Sipitang, serta sektor pelancongan.
Liang berkata, konsulat itu boleh menyediakan pengetahuan mengenai perkembangan ekonomi terkini di China kepada media tempatan menerusi forum, latihan dan taklimat. – BERNAMA