KLANG – Sembilan lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan dalam satu operasi bersepadu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) kerana disyaki menceroboh kawasan hutan simpan di Selangor.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) negeri, Abdul Khalim Abdul Samah berkata suspek berumur antara 35 dan 55 tahun itu ditahan dalam operasi selama lima hari yang berakhir hari ini dan direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau berkata dua warga Indonesia terbabit ditahan ketika memunggah buah kelapa sawit yang ditanam secara haram manakala selebihnya didapati memasuki hutan simpan tanpa permit dan disyaki untuk melakukan kegiatan menyalahi undang-undang, antaranya memikat spesis burung terancam.
“Operasi itu dijalankan susulan aduan awam dan risikan pihak kami. Hasil operasi di sembilan lokasi seluas 125,000 hektar hutan simpan itu mendapati kira-kira enam hektar kawasan diceroboh pihak tertentu untuk menanam kelapa sawit dan tanaman kontan secara haram.
“Namun semasa operasi, hanya dua warga Indonesia itu ditahan dan masih disiasat sama ada mereka hanya pekerja atau sebaliknya. Apa yang kami lihat, penanam kelapa sawit haram itu hanya tanam pokok dan biarkan, bila ada hasil baru datang untuk ambil kerana cara tanamannya juga berselerak,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan operasi bersepadu itu, di sini hari ini.
Abdul Khalim berkata pihak JPNS dan JPSM terpaksa memusnahkan kesemua tanaman haram itu dan menanam semula pokok tenggek burung yang menelan belanja RM6,000 untuk proses memulihkan semula tanah.
Katanya turut ditemui ialah lebih 300 batang pokok kayu bakau yang sudah dibersihkan, dan tidak diketahui pemiliknya di tiga lokasi hutan simpan dan disyaki dicuri untuk dijual sekurang-kurangnya pada harga RM5 sebatang.
Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan 146 anggota termasuk daripada Jabatan Perhilitan Selangor, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi penguatkuasaan sering dijalankan JPNS secara berkala namun disebabkan luas kawasan hutan simpan di Selangor adalah 250,000 hektar, ia memerlukan masa dan usaha yang padu bagi membendung sebarang kegiatan haram,” katanya. – BERNAMA