MENJADI penyanyi genre hip-hop bukanlah mudah bagi sesetengah penggiat seni. Namun ianya tidak mustahil jika bakat itu digilap dengan cara yang betul.
Semalam, penyanyi Aiman Tino telah dikritik oleh salah seorang bekas anggota kumpulan VE iaitu Damian Mikhail.
Baca: Rap Aiman Tino Dikritik, Fara Hezel Beri Penjelasan
Menurut Damian, nyanyian rap yang dinyanyikan oleh Aiman bersama kakaknya, Fara Hazel menerusi lagu Terasa Cinta bagaikan satu pencemaran dan penghinaan bagi genre muzik hip-hop.
Lain pula hari ini apabila penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow yang merupakan bekas ahli kumpulan Too Phat, yang menganggap nyanyian Aiman bagi lagu tersebut merupakan satu percubaan yang baik.
Menurut Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, dia sememangnya tidak mempunyai apa-apa masalah jika ada artis yang mahu berkarya menerusi genre tersebut.
“Satu percubaan yang baik, cara Aiman rap pun agak bagus juga. Sebelum ini saya pernah dengar rap yang lebih teruk daripada dia.
“Saya juga mengalu-alukan jika ada artis yang mahu rap atau memasukkan elemen hip-hop dalam lagu mereka. Misalnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun ada lagu yang berunsur rap, tiada masalah pun,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Dalam masa yang sama, Joe turut diminta untuk mengulas mengenai isu yang dikatakan oleh Damian baru-baru ini.
“Dalam hidup, tidak kira apa jua rintangan yang dihadapi, kita mesti positif dan meraikan sahaja apa yang berlaku,” ujarnya.
Joe telah melancarkan single terbaharunya semalam yang berjudul Drop di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur.
Tambah penyanyi lagu Aku Tanya Apa Khabar itu, lagu Drop membawa maksud positif mengenai kehidupan yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris.
Dia juga mempunyai satu matlamat iaitu membawa lagu tersebut ke peringkat yang lebih tinggi sehingga peringkat antarabangsa.
Lagu Drop telah diterbitkan oleh Alif yang merupakan ahli kumpulan Sleeq dan telah diadun oleh jurutera muzik terkemuka dunia, Chris Athens.
Malam tadi juga telah berlangsung pelancaran muzik video lagu tersebut yang kini boleh ditonton di laman Vevo SnyMusicKartel bermula hari ini dan proses rakaman telah dilakukan di Phuket, Thailand.
Semoga dengan buah tangan baharu Joe ini akan bawa muzik hip-hop ke peringkat lebih tinggi setimpal dengan hasil usaha dilakukan oleh Joe sepanjang hampir 18 tahun melibatkan diri dalam dunia seni. – MYNEWSHUB.CC/AH