ARTIS mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan seakan-akan sudah menjadi trend lumrah dalam kalangan selebriti di Malaysia.
Lihat sahaja bagaimana produk Naelofar Hijab yang dikendalikan Neelofa berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan semakin berkembang dengan jayanya.
Penyanyi semakin meningkat naik, Aiman Tino turut tidak melepaskan peluang meneruskan bidang perniagaan walau sudah bergelar anak seni.
Jika dahulu, Aiman terkenal dengan restoran keluarga mereka yang jual char kuey teow, kini, penyanyi berusia 19 tahun ini muncul pula dalam perniagaan pakaian seragam sekolah menerusi jenama Sweet Aiman Junior.
“Aiman memilih pakaian seragam sekolah kerana produk ini sentiasa mendapat permintaan dan mudah untuk dimiliki.
“Hari ini (semalam) adalah saat paling istimewa bagi Aiman kerana pelancaran produk pakaian seragam ini dilakukan di bekas sekolah Aiman,” katanya dipetik Harian Metro.
Khabarnya pelancaran jenama tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.
Menurutnya, pengeluaran pakaian seragam sekolah ini adalah sebahagian daripada impiannya untuk bergelar usahawan berjaya selain menjadi penyanyi.
Tambah penyanyi muda ini, untuk menjadi usahawan yang berdaya saing, dia perlu berani untuk meneroka pasaran baharu.
“Bidang keusahawanan sangat luas untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan yang lumayan. Walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi, tetapi usahawan perlu inovatif dalam meminimumkan risiko dan meluaskan potensi produk.
“Aiman juga perlu meneroka bidang keusahawan baharu, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pemasaran dan pasaran berbeza termasuk menggunakan media sosial,” katanya kepada BH Online.
Pelantun suara bagi lagu Ku Rela Dibenci ini menyatakan pihaknya bekerjasama dengan syarikat kosmetik Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn. Bhd. serta Mydin Mohamad Holdings Berhad untuk menghasilkan produk tersebut.
Khabarnya, produk tersebut telah pun berada di lapan pasar raya Mydin sejak 14 November lalu.
Aiman sebelum ini pernah turut mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan, kurta serta haruman. – MYNEWSHUB.CC