SEMALAM, isu penyanyi Aishah yang dikatakan tidak mendapat tajaan dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4) menjadi topik perbualan hangat di media sosial.
Namun, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin menafikan kenyataan itu.
Baca: Aishah Nafi Tiada Pihak Mahu Taja Dalam GV4
Ekoran tularnya tentang isu penajaan penyanyi 52 tahun itu, seorang pereka fesyen terkenal iaitu Calvin Thoo menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan sepasang busana buat Aishah untuk pentas akhir program tersebut.
“Sebetulnya, saya tidak mahu menaja pakaiannya, tetapi saya mahu menghadiahkan sepasang persalinan yang gah, sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi legenda negara. Itu tawaran yang ingin saya berikan kepadanya.
“Bahkan, dari dulu lagi saya amat meminatinya. Saya harap impian ini dapat ditunaikan,” kata Calvin kepada sebuah akhbar tempatan.
Namun, bagi penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu itu, dia menjelaskan yang pelawaan itu akan difikirkan kemudian kerana persembahan akan datang lebih penting.
“Saya maklum tentang pelawaan daripada Calvin itu, namun buat masa ini tidak mahu fikirkan lagi tentang tawaran itu.
“Iyalah, perjalanan untuk ke final jauh lagi, masih ada beberapa minggu lagi dan dalam pertandingan apa-apa pun boleh berlaku.
“Sekarang ni kita enjoy dulu dengan konsert dan saya mahu fokus dengan persembahan minggu depan,” katanya dipetik mStar Online.
Penyanyi ini turut memberitahu yang sejak isu tajaan baju itu tular, ramai yang menghubungi untuk menawarkan tajaan. Katanya lagi, untuk persembahan pada Ahad ini, dia sudah pun mendapat tajaan baju.
“Kelakar pula bila kecoh fasal baju, sekarang ni banyak pula yang tawar nak buatkan baju untuk saya, rasa sungguh terharu.
“Minggu depan dah ada baju sponsor untuk saya, tapi siapa pereka baju itu, biarlah rahsia,” ujarnya.
Menurut mStar Online lagi, pereka fesyen terkenal Amir Kadir turut terpanggil untuk menaja pakaian Aishah sepanjang menyertai dalam pertandingan itu.
Katanya disebabkan mereka merupakan rakan seangkatan membuatkannya menawarkan peluang itu.
“Selama 16 tahun saya bermastautin di sana (Dubai) termasuk di Kuwait City, Kuwait dan tahun lalu saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air bagi meneruskan karier sebagai pereka fesyen.
“Dulu ketika memulakan kerjaya di Malaysia, nama Aishah begitu gah dan kini sekembalinya ke sini, saya terpanggil untuk menajanya memandangkan kami rakan seangkatan.
“Tambahan pula selepas tular di media sosial mengenai isu penajaan baju Aishah membuatkan saya mahu menawarkan tajaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, pereka fesyen Hatta Dolmat menerusi Instagramnya turut menguar-uarkan peluang penajaan busana Aishah kepada semua pereka fesyen Malaysia untuk sama-sama berkarya buat penyanyi legenda itu.
Tambahnya, itu merupakan satu peluang untuk mengembangkan bakat terpendam buat mereka.
Nampaknya, entri Facebook yang dimuat naik Deegun Rahman seakan ‘membuka mata’ pereka fesyen Malaysia untuk tidak melupakan penyanyi-penyanyi legenda tanah air. – MYNEWSHUB.CC/SA