SEREMBAN – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang dalam proses untuk meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sebagai usaha memperkasakan lagi penguatkuasaan hidupan liar di negara ini.
Timbalan Menteri Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata pindaan akta itu kelak akan memasukkan penalti yang lebih berat dikenakan serta peruntukan mengenai tanggungjawab pemilik dan kuasa untuk bertindak ke atas pemerdagangan haram hidupan liar dalam talian.
“Pemerdagangan haram dalam talian kini menjadi trend yang sedang meningkat,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Biodiversiti 2017 di sinihari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlidungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan kementerian, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Mengulas lanjut, beliau berkata kekayaan kepelbagaian sumber biologi yang dimiliki negara telah mendedahkan kepada perlakuan jenayah hidupan liar oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Hamim berkata bagi membendung kegiatan itu, semua kakitangan Jabatan Perhilitan telah diberikan latihan sewajarnya bagi meningkatkan kualiti perisikan, penyiasatan dan pendakwaan.
Selain itu, katanya Jabatan Perhilitan turut mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa yang lain, seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebagai usaha memerangi aktiviti pemerdagangan haram hidupan liar.
“Perhilitan turut menjalinkan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan agensi seperti Interpol, ASEAN Wildlife Enforcement Network (ASEAN-WEN), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan The Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES).
“Jabatan Perhilitan tidak boleh bertindak sendirian dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan tanpa bantuan kita semua. Oleh itu kerjasama dan sokongan orang awam juga amatlah penting untuk menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan bagi mana-mana aktiviti hidupan liar yang disyaki melanggar undang-undang,” katanya.
Seminar Biodiversiti 2017 yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam disertai seramai 118 pegawai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, penyelidik, pensyarah dan individu perseorangan. – BERNAMA