ANAK gadis kepada seorang lelaki berstatus ‘Datuk’ berjaya ditangkap bapanya sendiri bersama-sama seorang lelaki warga Afrika, Khamis lalu.
Tangkapan yang dibuat sekitar jam 10 malam hingga 12 tengah malam di Bukit Bintang mendapati gadis tersebut berada dalam keadaan khayal.
Gadis tersebut dipercayai menjadi ‘duta kelab’ atau pelayan pusat hiburan dan ditangkap dengan bantuan rakan dan penyiasat persendirian yang diupah bapanya.
Menurut Datuk Shamsubahrin Ismail, dia terpaksa menahan anak gadisnya minggu lalu selepas empat bulan tidak pulang ke rumah dan terlibat dengan kegiatan tidak bermoral.
Tambah penasihat kepada Syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd. itu lagi, dia tidak mahu pertemuan terkahir bersama anaknya nanti di tali gantung kerana membiarkan anaknya menjadi keldai dadah.
“Saya tidak peduli kerana tidak mahu menangis di kemudian hari kerana terpaksa melihat anak gadis sendiri berada di tali gantung kerana mengedar dadah,” katanya dipetik Harian Metro.
Ekoran penangkapan itu, Shamsubahrin mengambil keputusan untuk menghantar gadis 20 tahun itu ke pusat pemulihan dadah pada 1 pagi Jumaat.
Dalam pada itu, polis daerah Dang Wangi mengesahkan lelaki warga asing itu masuk dan tinggal di negara ini secara haram dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen.
Terdahulu, Shamsubahrin ada mendedahkan yang anaknya terlibat dalam pekerjaan yang tidak bermoral dan mendapat kecaman daripada netizen.
Namun, demi anaknya, dia mengenepikan semua kecaman tersebut dan fokus untuk menyelamatkan anak gadisnya itu.
“Saya tahu ramai mengecam tindakan saya mendedahkan perilaku anak sendiri yang dikatakan memalukan ini namun sudah lama saya memberi peluang kepada dia, tetapi tidak diendahkan.
“Saya tidak peduli kerana demi anak gadis Islam di negara ini saya sanggup berjuang habis-habisan melawan maksiat,” ujarnya.
Menurut usahawan ini lagi, dia turut mendapat beberapa mesej daripada rakan-rakan anaknya itu dan mengatakan tindakannya hanya memalukan keluarga.
Shamsubahrin tidak peduli dengan mesej-mesej tersebut dan hanya meneruskan misi menyelamatkan anaknya yang keluar dari rumah sejak 29 Julai lalu bersama seorang wanita sebelum diserahkan kepada ejen ‘duta kelab’.
Dilaporkan, gadis yang tidak didedahkan namanya ini berhenti belajar menyambung pengajiannya kerana gji yang ditawarkan lumayan. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan…