BOLEH dikatakan ramai artis atau public figure menceburi bidang hiburan tanah air disebabkan oleh pengaruh orang terdekat yang juga pernah atau sedang berada dalam bidang itu.
Contohnya seperti pelakon Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose. Nelydia terlebih dahulu ‘terjun’ ke dunia lakonan berbanding kakaknya itu. Begitu juga seperti kisah penyanyi Ziana Zain dan adiknya Anuar Zain.
Mungkin bagi sesetengah daripada mereka berasa bangga atau tidak kisah jika dikenali pada mulanya dengan title adik atau abang somebody daripada asalnya hanyalah nobody.
Tetapi, tidak bagi Anas Tahir yang merupakan adik kepada penyanyi popular Faizal Tahir.
Anas yang kini penyampai radio terbaharu Zayan FM seakan-akan kurang selesa jika dirinya dibayangi nama dan populariti abangnya itu.
“Bagaimana hendak tumpang populariti abang saya, sedangkan saya sendiri tidak pernah mengaku yang kami mempunyai pertalian darah.
“Namun, saya tidak boleh lari kerana orang pasti akan bertanya kerana rupa saya ada iras abang saya juga.
“Apa-apa pun terus-terang saya katakan, saya tidak suka dikaitkan atau dikenali sebagai adik kepada Faizal Tahir.
“Bukan sebab kami bergaduh atau apa, cuma saya rasa sedikit tidak selesa,” katanya dipetik Astro Gempak.
Namun, Anas akui yang dia tidak dapat lari daripada kenyataan itu walaupun dia pernah mengaku yang dirinya anak tunggal.
“Pernah dulu, bila orang tanya adakah saya adik Faizal saya terus beritahu saya anak tunggal dan tidak mengaku penyanyi itu abang saya,” katanya lagi.
Sementara itu, pemuda 34 tahun ini tidak menyangkakan yang kariernya akan bertukar dari seorang jurutera kepada penyampai radio pula.
Kini, Anas bergandingan dengan penyanyi, Mawi dalam mengendalikan segmen Salam Bros pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 hingga 10 pagi.
“Saya suka bercakap dan seorang yang peramah, malah sebelum ini saya memang ada juga menyanyi tetapi tidak sehebat Faizal.
“Apabila dipanggil untuk uji bakat radio baharu ini, saya tidak teragak-agak untuk pergi.
“Namun terus-terang saya katakan, saya tidak meletakan apa-apa harapan pun.
“Tapi apabila saya terpilih, saya bagai tak percaya malah sempat mengalirkan air mata kerana terharu.
“Alhamdulilah dua bulan bergandingan dengan Mawi saya semakin selesa dan seronok dengan kerjaya baharu saya,” tambahnya lagi.
Selain Anas dan Mawi, antara barisan penyampai radio yang lain ialah Lin Ariffin, Raqib dan juga Falyq. – MYNEWSHUB.CC/SA