WASHINGTON – Amerika Syarikat, semalam mendedahkan sekatan baru menyasarkan sektor perkapalan Korea Utara dan pedagang China yang berurusan dengan Pyongyang, meningkatkan lagi tekanan ke atas rejim itu supaya membatalkan program nuklearnya.
Langkah itu dibuat sehari selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan Korea Utara sebagai negara pembiaya keganasan, kedudukan dalam senarai hitam AS yang berjaya dielakkan Pyongyang hampir sedekad lalu.
“Ia termasuk syarikat yang ada urusan perdagangan dengan Korea Utara bernilai ratusan juta dolar.
“Kami juga mengenakan sekatan ke atas syarikat perkapalan dan pengangkutan dan kenderaan yang memudahkan perdagangan Korea Utara serta aktiviti penipuannya,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin.
Kelmarin, Trump berkata pengumuman sekatan adalah yang pertama dalam siri tindakan dalam masa dua minggu yang mengukuhkan ‘kempen tekanan maksimum’ terhadap rejim pimpinan Kim Jong-Un itu.
Menurut Mnuchin, sekatan bukan sahaja terus meminggirkan Pyongyang tetapi juga mendedahkan taktik mengelak rejim itu.
Keseluruhannya, langkah baru itu menambah seorang lagi individu, 13 entiti perdagangan dan 20 kapal dalam senarai sekatan AS.
Sebarang hartanah atau aset firma terbabit yang didapati berada dalam bidang kuasa kehakiman AS akan dibekukan, dan rakyat AS dilarang berdagang dengannya. – AFP/myMetro Online