KUALA LUMPUR – Jaguh trek negara Azizulhasni Awang tidak dapat menamatkan perlumbaan acara keirin pada siri pertama Piala Dunia di Poland kerana terlibat dalam pelanggaran dengan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.
Insiden berlaku pada selekoh terakhir menuju ke garisan penamat ketika pelumba yang digelar The Pocketrocketman itu beraksi dalam pusingan penyisihan (repecharge) di Velodrom BGZ Arena, Pruszkow.
Beliau perlu menang pusingan itu untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Azizulhasni menerusi laman Instagram miliknya menulis beliau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan bakal beraksi dalam acara pecut individu awal pagi nanti.
“Malangnya perkara berlaku tidak menurut seperti yang dirancang kerana saya terlibat dalam pelanggaran semasa repecharge dengan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.
“Saya hanya alami cedera pada permukaan dan terseliuh buku lali. Diharap esok saya boleh menunggang semula bagi acara pecut individu. Terima kasih kepada setiap orang atas sokongan dan doa,” katanya menerusi Instagram azizulawangofficial. – BERNAMA