NAMPAKNYA Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) menjadi bualan hangat beberapa hari ini apabila 12 lagu telah pun dipilih Ahad lalu.
Pada mulanya, ramai yang mempertikaikan keputusan juri apabila menyatakan bahawa majoriti lagu yang terpilih itu dari bakat baharu tanah air.
Ada juga pihak menyatakan lagu Terus Mencintai nyanyian Siti Nordiana yang sepatutnya berentap di AJL akan datang tetapi gagal dipilih juri.
Kemudian, timbul isu Ayda Jebat yang seakan-akan tidak berpuas hati apabila lagunya gagal ke pentas akhir program tersebut.
Diikuti pula dengan netizen yang menidakkan keputusan juri apabila lagu Amboi nyanyian Altimet antara 12 lagu yang akan menggegarkan pentas AJL Februari nanti.
Namun, penyanyi dan komposer terkenal, Ajai mengakui keputusan juri memilih lagu dan bakat baharu merupakan sesuatu perkembangan yang bagus buat industri nyanyian tanah air.
“Ya, ia satu perkembangan yang bagus. Mereka adalah pelapis dan ia juga menandakan industri kita semakin pesat,” katanya dipetik Sinar Online.
Ajai yang sudah menceburi industri seni tanah air sejak tahun 1990-an berpendapat industri muzik boleh disamakan dengan industri fesyen.
Menurutnya, sesuatu fesyen itu akan berubah-rubah mengikut zaman dan akan kembali berulang. Jadi, komposer terkenal ini bersetuju lagu-lagu yang dihasilkan perlu mengikut trend pada zaman tersebut.
“Jadi, kita juga kena ikut trend dan akur dengan kehendak fesyen. Lihat saja, macam mana penerimaan orang luar terhadap industri sekarang? Sering berbeza,” jelasnya.
Ajai turut bersetuju irama muzik 1990-an menjadi pilihan pendengar kini. Disebabkan itu juga, ramai penyanyi baharu yang muncul dengan lagu-lagu berentak 1990-an dan tangkap leleh.
“Kalau bercerita pasal kualiti, mereka yang profesional ada pemikiran sendiri, tapi kalau dilihat keseluruhan, itulah yang orang minat.
“Lihat saja masa saya pada zaman Exist, datanglah kumpulan apa pun, orang tetap akan cari. Jadi, ia akan recycle semula,” katanya.
Dalam pada itu, Ajai menyatakan lagu-lagu yang yang dibuatnya mengikut permintaan peminat industri dan lagu-lagu tersebut bukan untuk pertandingan semata.
“Sebenarnya, bila saya buat lagu, saya tak fikir nak masuk apa-apa pertandingan. Bagi saya, music is about sharing, saya cuma ikut apa yang orang nak sekarang ini.
“Tapi, saya berasa seronok dapat bekerja dengan orang-orang yang saya kategorikan sebagai insan seni berbakat besar,” ujarnya lagi.
Sementara itu, dua lagu ciptaannya yang bertajuk Separuh Matiku Bercinta dendangan Dayang Nurfaizah dan Akhirnya Cinta nyanyian Salma berjaya menempatkan tempat dalam pertandingan berprestij itu. – MYNEWSHUB.CC/SA