MIRI – Sebuah sekolah rendah di daerah Subis, Miri terpaksa ditutup hari ini akibat banjir berikutan paras air semakin naik di perkarangan dalam dan luar sekolah akibat fenomena air pasang pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bulau yang mempunyai 39 murid,12 guru dan seorang kakitangan pentadbiran tidak dapat meneruskan sesi persekolahan setelah jalan masuk ke sekolah dinaiki air.
“Kawasan bawah bangunan sekolah, kediaman guru dan kawasan padang turut dinaiki air,”demikian menurut kenyataan jawatankuasa itu di sini.
Kenyataan sama turut menyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran cuaca buruk di Sarawak setakat 9.30 pagi ini.
“Cuaca di Sarawak diramalkan pagi tiada hujan, petang ribut petir di satu atau dua tempat serta malam hujan di satu atau dua tempat,” demikian menurut kenyataan itu. – BERNAMA