KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan membatalkan lesen premis perniagaan syarikat yang masih ingkar menggantung iklan di tiang lampu dan lampu isyarat di Kuala Lumpur, bermula awal tahun depan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata sekiranya syarikat berkenaan didapati melanggar arahan itu, DBKL akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan akan membatalkan lesen serta-merta sekiranya ia masih tidak dipatuhi.
“Dalam sehari, beratus-ratus poster dan iklan komersial haram seperti iklan along digantung merata-rata dan situasi ini benar-benar mencacatkan pemandangan dan imej Kuala Lumpur sedangkan di negara lain seperti China dan Thailand pun tidak berlaku masalah sebegini,” katanya pada sidang media pelancaran Pasukan Rovers DBKL, di sini hari ini.
Katanya disebabkan sikap degil mereka, DBKL terpaksa membelanjakan sehingga RM3 juta tahun lalu untuk kerja-kerja menurunkan semua iklan haram terbabit dari pagi hingga lewat malam.
“Selepas ini tiada lagi kompromi, sama ada syarikat besar atau kecil,” katanya.
Mengenai Rovers DBKL, Mhd Amin Nordin berkata pasukan khas berkenaan dianggotai pasukan trafik DBKL yang ditugaskan untuk menyuraikan trafik di kawasan-kawasan utama di ibu negara iaitu Bukit Bintang, Masjid India, Chow Kit dan Brickfields.
“Setiap pasukan yang terdiri daripada dua anggota bermotosikal di empat kawasan berkenaan akan bertindak melancarkan pergerakan di jalan raya khususnya di kawasan yang sesak pada waktu puncak.
“Pasukan ini juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang memberhentikan kenderaan dan menunggu ketika waktu puncak dengan berhenti di lorong bas atau tepi jalan yang mempunyai tanda larangan,” katanya.
Beliau berkata sekiranya pemandu terbabit tidak mengalihkan kenderaan terbabit, DBKL akan menunda kenderaan itu serta-merta. – BERNAMA