KUANTAN – Tujuh kontrak Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Pahang dibatalkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Abu Bakar Harun.
Beliau berkata pembatalan itu melibatkan PGBF di Jengka 1, Jengka 6, Jengka 11, Jengka 12, Felda Bukit Sagu, Felda Bukit Tajau dan Felda Kota Gelanggi 2.
“Penamatan kontrak terpaksa dilakukan memandangkan pihak kontraktor utama gagal untuk menyiapkan projek dalam masa yang ditetapkan dan disebabkan kemajuan kerja yang tidak memuaskan,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, semasa menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) yang ingin tahu tindakan Felda berhubung projek PGBF yang terbengkalai.
Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) mengenai tindakan seterusnya, Abu Bakar berkata Felda setakat ini sedang berbincang dengan konsultan baharu memandangkan konsultan lama telah ditamatkan selari dengan penamatan kontrak itu.
“Kami telah lantik kontraktor baharu dan sudah buat keputusan supaya rundingan harga dapat diselesaikan dengan baik. Kami berharap projek ini boleh diteruskan pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin memaklumkan kehadiran pelancong ke Pahang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini mencatatkan pertambahan 21.8 peratus, berbanding tempoh sama 2016.
Beliau yang menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) berkata jumlah pelancong domestik juga meningkat 5.19 juta orang untuk tempoh sama, berbanding 5.1 juta orang pada tahun sebelumnya.
Mohd Sharkar menambah pertambahan itu adalah sejajar dengan inisiatif dan kempen yang dilakukan sempena Tahun Melawat Pahang 2017. – BERNAMA