PARIT BUNTAR – Bekalan tepung gandum di daerah Kerian mencukupi, kata Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Kerian Mohd Fazly Edros.
Beliau berkata tular di media sosial yang mendakwa kekurangan bekalan bahan itu di daerah ini sehingga membimbangkan pengguna adalah tidak benar.
“Berdasarkan pemeriksaan dengan pemborong dan peruncit di pekan Bagan Serai, bekalan tepung tidak berkurangan. Bekalan tepung gandum di peringkat pemborong adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan peruncit di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Fazly berkata pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa dalam memastikan bekalan barangan keperluan lain termasuk tepung gandum mencukupi. – BERNAMA