KOTA BHARU – Bekas Anggota Parlimen Tanah Merah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saupi Daud meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, hari ini.
Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata Saupi, 67, meninggal dunia di sisi keluarganya di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat di sini pada 5 pagi tadi.
“Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Ar Rahman, Pasir Pekan dan dikebumikan selepas solat Asar,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya allahyarham menjadi Anggota Parlimen Tanah Merah dari 1999 hingga 2004.
“Jasa arwah kepada kami amat besar dan saya berharap semoga keluarga allahyarham tabah menghadapi saat kehilangannya,” kata beliau. – BERNAMA