SELEPAS kecoh kes seorang individu berstatus ‘Datuk Seri’ belasah anggota Rela pada awal bulan ini, kali ini muncul pula kes seakan-akan sama melibatkan seorang bekas menteri.
Insiden terbaharu itu didedahkan seorang warga emas yang mendakwa bahawa dia telah diugut tembak oleh bekas menteri Sabah dek kerana hal yang boleh perselisihan faham yang boleh dielakkan.
Lapor portal The Malaysian Insight, laporan polis dibuat oleh mangsa yang dikenali sebagai Chin Wong Seng, 65, di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.
Kejadian itu bermula apabila Wong Seng yang memandu Perodua Kancil pada Khamis telah dilanggar dari belakang oleh bekas menteri berkenaan yang memandu Toyota Hilux Vigo.
Bekas menteri itu kemudian cuba melarikan diri dari tempat kejadian tetapi berjaya dihalang oleh Wong Seng.
Apabila dia cuba mengetuk tingkap keretanya untuk menyelesaikan hal pelanggaran tersebut, bekas menteri itu terus mengeluarkan sepucuk pistol dan mengugutnya.
“Dia kata pada saya ‘kau nak mati, aku tembak kau’ sambil mengacukan pistol ke arah saya selepas meminta nombor telefonya,” kata mangsa seperti dilaporkan portal itu.
Wong Seng kemudian mencabar bekas pemimpin itu untuk menembaknya kerana dia sama sekali tidak takut.
Selepas dicabar, bekas menteri itu bagaimanapun tidak berani melakukan sebegitu dan terus mengalihkan pistolnya.
“Dia memberitahu saya untuk menghubungi beliau di pejabatnya di Tanjung Aru untuk menyelesaikan perkara itu sebelum memandu pergi,” katanya.
Wong Seng berharap polis akan menyiasat perkara itu secara adil, kerana mengancam seseorang dengan senjata adalah satu kesalahan seriuas.
Difahamkan, bekas menteri berkenaan pernah menjadi menteri semasa era Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah dan merupakan abang kepada seorang menteri kanan negeri. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…