CARA pelakon cantik, Neelofa berfesyen sememangnya sering kali mendapat perhatian daripada ramai netizen.
Sebelum ini, heroin drama Red Velvet ini pernah dikecam gara-gara menggayakan baju tee dengan skirt labuh ketika mengacarakan Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) April lalu.
Selepas itu, Neelofa juga pernah menjadi tumpuan kerana memakai seluar jeans koyak di bahagian lutut ketika sedang bercuti bersama ahli keluarga di Itali beberapa bulan lepas.
Terbaru, pengacara ini sekali lagi menjadi perhatian nampaknya apabila busana yang digayakan ketika menghadiri pertunjukan fesyen Victoria’s Secret di Shanghai, China semalam teruk dihentam.
Pelakon ini menerima kritikan hebat kerana segelintir netizen beranggapan turban yang digayakan oleh Neelofa dilihat tidak bersesuaian dengan imej seorang wanita Muslimah.
Tambahan pula, semua sedia tahu pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini pernah mengerjakan haji beberapa bulan lepas dan kini beliau sudah bergelar ‘Hajjah’.
Jadi, ramai mempersoalkan pemakaian tudung yang disifatkan tidak sempurna itu kerana beranggapan penampilan tersebut tidak seiring dengan title ‘Hajjah’ berkenaan.
“Kenapa pakai tudung macam tu. Tak cantik. Dulu lagi cantik,” komen salah seorang pengikut di laman Instagram miliknya.
Walaupun ramai yang mengutuk, namun masih ada segelintir anggota masyarakat yang mempertahankan Neelofa dengan meninggalkan komen positif di ruangan laman sosial berkenaan.
“Biar apa orang pertikaikan dia, saya tetap suka dan minat. Setiap manusia tiada yang sempurna,” komen peminatnya.
Apa-apapun kita tunggu sajalah penjelasan daripada mulut Neelofa sendiri berhubung perkara ini ya… – MYNEWSHUB.CC/AM