PARIT – Tiada yang akan mematahkan semangat seorang anggota bomba untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, demikian komitmen Mohamad Azizi Rosli yang cedera selepas terkena renjatan elektrik dalam satu operasi memadam kebakaran di sebuah rumah di sini, semalam.
Mohamad Azizi, 21, berkata semasa kejadian, beliau tidak menyedari terdapat wayar elektrik yang terputus dan terjatuh di bahagian halaman rumah terbabit sebelum terpijak sehingga menyebabkan kakinya berasa kebas.
“Mula-mula saya cuma rasa kebas di kedua-dua belah kaki dan saya meneruskan lagi operasi sehingga masuk ke dalam rumah, tetapi tiba-tiba saya berasa lemah seluruh badan dan pening.
“Saya kemudiannya memberi hos air kepada kawan saya dan terus ke jentera, sampai sahaja di jentera saya rebah dan dibawa ke hospital,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima lawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar selama kira-kira 20 minit di Hospital Changkat Melintang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Azizi terharu dengan lawatan Noh dan menyifatkan ia sedikit sebanyak memberi semangat untuknya terus berkhidmat dalam pasukan tersebut biarpun perlu menempuh pelbagai lagi cabaran pada masa akan datang.
“Saya memang terkejut apabila dimaklumkan Tan Sri Noh akan datang ke sini melawat saya memandangkan hospital ini berada sedikit di pedalaman. Saya tidak serik dan akan terus berjuang sebagai anggota bomba yang berjaya,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Zaiful Affendi Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran di sebuah rumah di Kampung Teluk Dayung, Lambor Kanan kira-kira pukul 7.23 malam semalam.
Katanya ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menguruskan hos air untuk memulakan pemadaman di rumah terbabit sebelum terpijak wayar yang berada di dalam takungan air dan rebah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Datuk Yahaya Madis menyifatkan lawatan Noh terhadap anggota yang mengalami kecederaan ketika menjalankan operasi sebagai satu penghormatan.
“Ia sekali gus mampu memberi semangat kepada anggota yang terlibat dan seluruh anggota di Perak khususnya,” katanya. – BERNAMA