BUTTERWORTH – Selepas dua kali didakwa di mahkamah sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP) sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah.
Kali ini Datuk Azman Abdul Samat berdepan dua pertuduhan rasuah membabitkan RM9,000 dan mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan pertama Azman didakwa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gred 1 merangkap Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang menerima suapan untuk dirinya satu cek Hong Leong Bank bernilai RM5,000 tanpa balasan daripada pemilik syarikat MW Global Trading Mohd Wardi Ramli, yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya di No 4, Jalan Perda Selatan, Bandar Perda, Bukit Mertajam pada Januari 2014.
Bagi pertuduhan kedua Azman didakwa dengan jawatan sama telah menerima rasuah untuk dirinya satu cek Hong Leong Islamic bernilai RM4,000 tanpa suatu balasan daripada pemilik syarikat AI Global Trading Ashri Ismail, yang juga diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.
Azman, 50, didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama antara 28 hingga 30 Dis 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh, bagaimanapun peguam M. Rajiven memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya kepada RM4,000.
“Anak guam saya telah berkhidmat dengan ZPP selama 22 tahun dan telah 17 tahun menjadi CEO.Tertuduh mempunyai enam anak yang masih bersekolah selain menyara isteri dan ibu tiri,” katanya yang turut menambah anak guamnya telah didakwa sebelum ini.
Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Dis depan untuk sebutan kes.
Pada 19 Julai lepas, Azman didakwa atas tiga pertuduhan rasuah manakala dua hari kemudian (21 Julai), CEO itu sekali lagi didakwa bagi pertuduhan sama. – BERNAMA