SERING kali kita mendengar berita mengenai pelakon yang menjalinkan hubungan cinta selepas mereka berdua digandingkan bersama dalam sesebuah karya.
Adakah cinta itu benar-benar ikhlas ataupun hanya untuk publisiti semata-mata?
Namun, bagi pelakon bertubuh sasa yang menjadi ‘kegilaan’ penonton, Zul Ariffin, dia setegasnya menolak cinta lokasi yang seperti menjadi ‘permainan’ bagi sesetengah pelakon.
Bagi aktor berusia 31 tahun itu, dia menganggap bahawa heroin gandingannya tidak perlu rapat sehingga mula timbul gosip kononnya berkasih sayang dengan alasan mencari keserasian dalam lakonan.
Sebelum ini, Zul juga pernah dikaitkan dengan pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat ketika mereka digandingkan dalam drama M.A.I.D dan Rindu Awak 200%.
Tapi, Zul sendiri telah menolak dakwaan tersebut kerana ketika itu dia masih lagi menjalinkan hubungan dengan Gayatri Su-Lin Pillai yang merupakan seorang penerbit di bawah Astro Shaw ketika itu.
Anak kelahiran Taiping, Perak itu sendiri mengakui bahawa ada kalanya dia kurang bercakap dengan pasangan gandingannya melainkan ketika sesi latihan atau beraksi di lokasi.
Seperti contoh apabila dia digandingkan bersama dengan pendatang baharu, Farah Nabilah ketika menjayakan drama kesukaan ramai, Titian Cinta.
“Masa berlakon, kami tumpukan perhatian kepada kerja. Misalnya, ketika beraksi, saya tak terikat dengan skrip.
“Saya biasakan adlib (ubah skrip secara spontan) tapi dengan keizinan pengarah. Lantas, Farah terikut rentak saya. Jadi kerjasama itu berlaku secara tak langsung.
“Kami hanya berjumpa sama ada di set penggambaran atau ketika berlatih,” katanya dipetik daripada BH Online.
Titian Cinta merupakan hasil nukilan Ridhya Iman dan disiarkan di slot Akasia TV3 di bawah arahan Heykal Hanafiah.
Hasil gandingan yang mantap itu, mereka berjaya menambat hati kira-kira 11 juta penonton drama Melayu.
Tambahnya lagi, gandingan pertama kali itu bagaikan satu keajaiban yang pernah dilaluinya sepanjang melibatkan diri dalam industi hiburan selama hampir 10 tahun.
“Ini kerana ada drama lakonan saya dengan pelakon wanita yang sudah mencipta nama tidak pula mendapat sambutan.
“Ini bermakna pengalaman dan populariti bukan ukuran yang akan menentukan kejayaan sesebuah drama. Semuanya berbalik kepada rezeki dan tuah,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Zul juga mengakui bahawa dia nyaris menolak tawaran pengarah Heykal yang merupakan suami kepada pelakon cantik, Faezah Elai.
“Ini kerana saya tidak mahu jadual promosi filem Tombiruo : Penunggu Rimba terganggu.
“Saya bimbang jika komitmen tiga bulan berlakon dalam drama itu akan menyusahkan saya untuk melakukan promosi filem berkenaan.
“Bagaimanapun, selepas berbincang, pihak produksi menyusun semula jadual mereka,” katanya lagi.
Namun kini Zul telah mengambil langkah untuk ‘hilang’ seketika daripada media sosial apabila dia mengambil keputusan untuk menyahaktifkan akaun Instagramnya buat seketika untuk mencari ruang privasi.
Zul masih lagi terikat dengan kontroversi berkaitan kekasih hatinya, Zahirah Macwilson yang kini masih diam diri mengenai isu yang mengatakan dia jadi punca hubungan antara Emma Maembong dan Kamal Adli berakhir. –Â MYNEWSHUB.CC/AH
* Video sekadar hiburan…